Rabu, 4 Februari 2009

Ahad, 1 Februari 2009

WARNAI PENUBUHAN " PERSATUAN LOTUD SEDUNIA " SEPERTI SEORANG BAYI YANG SUCI DARI NODA ????

Kelahiran Persatuan LOTUD yang sedang dirancang oleh beberapa orang yang boleh diklasifikasikan sebagai di antara para pemimpin bangsa LOTUD di negeri ini, perlu diwarnai seperti seorang bayi yang baru lahir, suci, bersih tanpa disaluti PEMIKIRAN SEMPIT yang boleh memecah belahkan keutuhan persatuan itu di masa hadapan.

Pemilihan barisan kepimpinan Persatuan LOTUD yang bakal mewarnai hala tuju bangsa LOTUD seharusnya dipilih di kalangan individu yang BERMENTALITI BEBAS dari sebarang pengaruh dan seorang pejuang yang berani menyuarakan permasalahan bangsa LOTUD untuk perhatian seterusnya tindakan oleh kepimpinan atasan negara.

Beberapa tahun yang lalu, saya secara tidak langsung pernah terlibat dengan Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah yang beroperasi di Pitas, secara ringkasnya latar belakang Persatuan Bangsa Tombonuo ini disertai oleh seluruh bangsa Tombonuo yang ada di negeri ini tanpa mengira anutan agama dan perbezaan ideologi politik.

Perjuangan persatuan ini seperti juga perjuangan persatuan-persatuan suku bangsa lain yang terdapat di negara ini menuntut agar suku bangsa mereka dibela dan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah negara ini pada hari ini.

Presiden Persatuan ini diterajui oleh seorang berbangsa cina campuran bangsa Tombonuo di sebelah ibunya, beliau merupakan seorang penganut agama Buddha yang taat kepada ajaran agamanya, beliau adalah satu-satunya penganut agama Buddha di antara puluhan ribu bangsa Tombonuo yang menjadi ahli persatuan itu.

Apa yang mengagumkan saya ialah cara beliau berfikir, gaya kepimpinannya yang tidak dapat dipengaruhi oleh ahli-ahlinya yang terdiri daripada berbilang agama dan berbeza fahaman politik.

Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan Persatuan ini milik penganut agama ini dan sebagainya, namun beliau tidak tergelincir dari objektif utama awal penubuhan persatuan itu untuk membela bangsa Tombonuo tanpa sebarang sempadan yang boleh membantutkan usaha memperkasakan bangsa berkenaan.

Walaupun tidak ada kejayaan besar yang dapat dicipta oleh Presiden Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah untuk bangsanya umpamanya menjadi ADUN atau membina bangunan pencakar langit dan sebagainya, tetapi itu bukanlah merupakan kayu pengukur menidakkan gaya kepimpinannya yang telus untuk kemajuan bangsanya.

Pada saya, sebenarnya beliau telah mencipta sejarah tersendiri kerana telah berjaya menyatu padukan bangsa Tombonuo dengan menerapkan SEMANGAT KEKITAAN tanpa ada perasaan yang mengatakan persatuan ini untuk penganut agama ini atau sebagainya.

Kenapa timbul isu AGAMA dalam bicara saya pada kali ini ?, jika kita ingin menjadi sebuah bangsa yang KUAT, sebuah bangsa yang disegani oleh bangsa-bangsa lain, harus saya peringatkan kepada bakal-bakal peneraju Persatuan Bangsa LOTUD, jangan sekali-kali melibatkan fahaman agama dalam persatuan, jangan sekali-kali kita mempunyai AGENDA LAIN selain daripada memperkasakan bangsa LOTUD tanpa membezakan anutan agama mahupun ideologi politik dikalangan ahli-ahlinya.

Jika kita sayang Persatuan yang bakal ditubuhkan, jika kita ingin menjadi pemimpin yang dihormati oleh bangsa LOTUD yang menganut pelbagai agama dan fahaman politik, perkara pertama yang harus dilakukan buanglah jauh-jauh segala pemikiran atau agenda yang bisa menghancurkan kesatuan ahli-ahlinya demi memastikan bangsa LOTUD tidak terus ketinggalan dalam apa juga kemajuan di negara ini.

" KEJAYAAN HARI INI PENENTU MASA HADAPAN GENERASI LOTUD "