Rabu, 4 Februari 2009

Ahad, 1 Februari 2009

WARNAI PENUBUHAN " PERSATUAN LOTUD SEDUNIA " SEPERTI SEORANG BAYI YANG SUCI DARI NODA ????

Kelahiran Persatuan LOTUD yang sedang dirancang oleh beberapa orang yang boleh diklasifikasikan sebagai di antara para pemimpin bangsa LOTUD di negeri ini, perlu diwarnai seperti seorang bayi yang baru lahir, suci, bersih tanpa disaluti PEMIKIRAN SEMPIT yang boleh memecah belahkan keutuhan persatuan itu di masa hadapan.

Pemilihan barisan kepimpinan Persatuan LOTUD yang bakal mewarnai hala tuju bangsa LOTUD seharusnya dipilih di kalangan individu yang BERMENTALITI BEBAS dari sebarang pengaruh dan seorang pejuang yang berani menyuarakan permasalahan bangsa LOTUD untuk perhatian seterusnya tindakan oleh kepimpinan atasan negara.

Beberapa tahun yang lalu, saya secara tidak langsung pernah terlibat dengan Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah yang beroperasi di Pitas, secara ringkasnya latar belakang Persatuan Bangsa Tombonuo ini disertai oleh seluruh bangsa Tombonuo yang ada di negeri ini tanpa mengira anutan agama dan perbezaan ideologi politik.

Perjuangan persatuan ini seperti juga perjuangan persatuan-persatuan suku bangsa lain yang terdapat di negara ini menuntut agar suku bangsa mereka dibela dan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah negara ini pada hari ini.

Presiden Persatuan ini diterajui oleh seorang berbangsa cina campuran bangsa Tombonuo di sebelah ibunya, beliau merupakan seorang penganut agama Buddha yang taat kepada ajaran agamanya, beliau adalah satu-satunya penganut agama Buddha di antara puluhan ribu bangsa Tombonuo yang menjadi ahli persatuan itu.

Apa yang mengagumkan saya ialah cara beliau berfikir, gaya kepimpinannya yang tidak dapat dipengaruhi oleh ahli-ahlinya yang terdiri daripada berbilang agama dan berbeza fahaman politik.

Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan Persatuan ini milik penganut agama ini dan sebagainya, namun beliau tidak tergelincir dari objektif utama awal penubuhan persatuan itu untuk membela bangsa Tombonuo tanpa sebarang sempadan yang boleh membantutkan usaha memperkasakan bangsa berkenaan.

Walaupun tidak ada kejayaan besar yang dapat dicipta oleh Presiden Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah untuk bangsanya umpamanya menjadi ADUN atau membina bangunan pencakar langit dan sebagainya, tetapi itu bukanlah merupakan kayu pengukur menidakkan gaya kepimpinannya yang telus untuk kemajuan bangsanya.

Pada saya, sebenarnya beliau telah mencipta sejarah tersendiri kerana telah berjaya menyatu padukan bangsa Tombonuo dengan menerapkan SEMANGAT KEKITAAN tanpa ada perasaan yang mengatakan persatuan ini untuk penganut agama ini atau sebagainya.

Kenapa timbul isu AGAMA dalam bicara saya pada kali ini ?, jika kita ingin menjadi sebuah bangsa yang KUAT, sebuah bangsa yang disegani oleh bangsa-bangsa lain, harus saya peringatkan kepada bakal-bakal peneraju Persatuan Bangsa LOTUD, jangan sekali-kali melibatkan fahaman agama dalam persatuan, jangan sekali-kali kita mempunyai AGENDA LAIN selain daripada memperkasakan bangsa LOTUD tanpa membezakan anutan agama mahupun ideologi politik dikalangan ahli-ahlinya.

Jika kita sayang Persatuan yang bakal ditubuhkan, jika kita ingin menjadi pemimpin yang dihormati oleh bangsa LOTUD yang menganut pelbagai agama dan fahaman politik, perkara pertama yang harus dilakukan buanglah jauh-jauh segala pemikiran atau agenda yang bisa menghancurkan kesatuan ahli-ahlinya demi memastikan bangsa LOTUD tidak terus ketinggalan dalam apa juga kemajuan di negara ini.

" KEJAYAAN HARI INI PENENTU MASA HADAPAN GENERASI LOTUD "

Sabtu, 17 Januari 2009

Rabu, 14 Januari 2009

BERSUARA LAH KALAKAU UNTUK LOTUD


LAYARI LAMAN BLOG DATUK KALAKAU UNTOL http://kalakau.blogspot.com/

Dahulu bangsa LOTUD gagah kerana memiliki Wakil Rakyat dari suku LOTUD yang boleh membantu bangsa LOTUD, dulu LOTUD boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain, tapi apa yang berlaku kini ?.....bangsa LOTUD semakin ditelan zaman, suara kita pun tidak kedengaran.

Apa yang mampu kita lakukan jika bangsa LOTUD hanya dilantik SENATOR, hanya sekadar memanaskan bangku Dewan Rakyat setiapkali sidang Dewan Parlimen diadakan, LOTUD memerlukan lebih dari itu, terlalu banyak masalah LOTUD yang perlu ditangani, LOTUD juga seperti bangsa-bangsa lain di Malaysia memerlukan pembelaan sewajarnya dalam pelbagai hal.

Wahai Datuk Kalakau yang budiman, bangkitlah...!!!!!, kami memerlukan seseorang yang berupaya menyuarakan masalah kami, kami mahu seorang pemimpin yang melihat kami, memahami keadaan kami yang serba kekurangan, sampai bila perlu bangsa LOTUD berdiam, adakah kerana LOTUD satu kumpulan minoriti, atau apa kah jawatan SENATOR itu untuk cari makan sendiri........?

Isnin, 12 Januari 2009

LOTUD JANGAN JADI BANGSA ' PAK TURUT '

Hari ini (12hb.Januari.2009) dalam laporan akhbar tempatan Sabah yang ternama Daily Express melaporkan sebuah PERSATUAN BARU DUSUN BAKAL DITUBUHKAN di negeri ini yang disiarkan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Kadazan Dusun.

Ketua Kumpulannya, Datu Sebastian Datu Panglima Banting menyatakan persatuan tersebut dinamakan PERSATUAN DUSUN SABAH (DSS) yang antara lainya bermatlamatkan menjadi 'RUMAH" penyatuan bagi bangsa Dusun di negeri ini sebuah bangsa yang mempunyai bilangan suku bangsa terbesar di negeri ini. Keratan Akhbar Daily Express 12hb.Januari.2009 (Isnin)


Ketika ini, bangsa Kadazan Dusun telah memiliki tiga persatuan lain yang sedia wujud, selain cadangan penubuhan persatuan yang dinyatakan oleh Datu Sebastian, antara persatuan itu Persatuan Kebudayaan KadazanDusun (KDCA) dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan, Persatuan Dusun Bersatu Sabah (USDA) dipimpin oleh Datuk Kalakau Untol dan Persatuan KSS dibawah pimpinan Datuk Marcel Leiking.

Timbul persoalan, di mana kedudukan bangsa LOTUD selama ini, dari analisis rambang yang saya lakukan, bangsa LOTUD sebenarnya selama ini hanya menjadi pengikut sahaja, bangsa LOTUD merupakan satu bangsa yang taat setia kepada siapa sahaja yang dinobatkan sebagai pemimpin mereka, walaupun mereka tidak kenal rapat, tidak pernah membantu mereka,mereka ini tidak pernah menjadi penderhaka.

Tapi sampai bilakah bangsa LOTUD hanya jadi pengikut ?...saya bimbang jika bangsa ini masih lagi menjadi pengikut kepada pemimpin yang belum tentu boleh menjaga kebajikan mereka, akhirnya kita tidak tahu di mana kedudukan anak, cucu, cicit kita di masa hadapan.

Tidak mustahil satu masa nanti anak cucu kita akan merempat di tanah darah tumpah sendiri, jika sikap bangsa ini masih lagi menjadi ' Pak Turut ', jika bangsa LOTUD tidak mempunyai kesedaran dari sekarang, jangan harap bangsa lain akan meletakkan bangsa kita di satu kedudukan yang paling selesa di masa hadapan.

Apakah bangsa LOTUD masih mahu menjadi pengikut persatuan-persatuan baru seperti yang dilapurkan di dalam akhbar hari ini, pada pendapat saya kita hanya membuang masa menyertai persatuan yang belum tentu boleh menjaga masa hadapan kita.

Di Sabah, bangsa LOTUD memiliki individu tertentu yang juga berpendidikan tinggi serta berkewibawaan menjadi seorang pemimpin yang disegani, mungkin bangsa lain tidak tahu, antaranya anak Mantan TYT Sabah, Junaidi Tun Hamdan, Mantan PKR Tamparuli, Sulaiman Sabri, Pengerusi Pertubuhan Peladang Tuaran, Fairuz Bandar, Ketua Anak Negeri Sulaman, Saniban Ampilah dan banyak lagi yang tak dapat saya sebutkan di sini.

Adalah tidak masuk akal jika sehingga ke saat ini nama-nama yang saya sebutkan di atas juga masih mahu menjadi ' Pak Turut' dengan persatuan yang baru ini, tidak kah ada perancangan di kalangan pempimpin muda ini untuk berganding bahu, berkongsi idea, bagaimana bangsa LOTUD boleh bangkit maju disegani seperti bangsa-bangsa yang lain ?

Bangkitlah bangsa ku, masa hadapan anak cucu dan cicit kita terletak di dalam genggaman kita sebagai generasi masa kini, siapa lagi jika bukan kita yang merintis jalan untuk kebahagian anak bangsa kita di masa hadapan kalau bukan bapa-bapa,ibu-ibu serta para pemimpin bangsa LOTUD yang ada pada masa ini, SIAPA LAGI ? kesilapan kita hari ini akan menjadi kekesalan dan caci hamun oleh anak bangsa LOTUD di masa hadapan.

Jumaat, 9 Januari 2009

LOTUD YANG HILANG

Sejak hampir lebih 10 tahun yang lalu sehingga ke saat ini, LOTUD lebih banyak menumpang serta mengharap belas ehsan dari para pemimpin yang bukan sebangsa dengannya, pandangan yang cuba 'semangatlotud' utarakan bukanlah merupakan ' BATU API ' ataupun cuba meniupkan 'SEMANGAT PERKAUMAN' sebaliknya ia bermaksud mengajak para pembaca LOTUD terutamanya kepada para pemimpin LOTUD yang ada pada masa ini mencari jalan bagaimana bangsa LOTUD dapat maju seiring dengan bangsa-bangsa lain ke arah negara Malaysia yang kita cintai ini mencapai wawasan 2020.


Seingat saya pemimpin terakhir dari kalangan suku sakat LOTUD yang pernah menjadi salah satu pemimpin di negeri bawah bayu Sabah dan Malaysia ialah YB. Datuk Kalakau Untol (Sekarang dipilih menjadi Senator), sebenarnya sebelum Kalakau LOTUD juga memiliki pendekar-pendekar handal dan disegani seperti OKK Nonon Anad, Datuk Monggo Orow, Arwah Tun Hamdan Indan Kari (Mantan TYT Sabah), namun sejak kebelakangan ini taring LOTUD telah tumpul dan dikhuatiri LOTUD akhirnya akan hilang ditelan zaman.

Luahan 'semangatlotud' bukan bertujuan untuk mengaibkan YB. Kalakau Untol, kadang-kadang kesian juga saya melihat saudara saya ini yang tidak pernah kami berkenalan antara satu sama lain, al-maklumlah saya pemalu orangnya (siapalah saya ni.....!!!!!).

Secara ikhlas saya melihat beliau (YB. Kalakau) tidak mampu membantu orang-orang LOTUD hanya dengan jawatan Senator yang disandangnya buat masa ini, LOTUD memerlukan lebih dari itu, apatah lagi jumlah golongan belia dari suku LOTUD hampir mencecah 5000 orang, saya yakin tidak ada apa yang mampu boleh dilakukan oleh YB. Kalakau dalam usaha membantu generasi baru LOTUD ini, yang kita khuatiri bila peluang-peluang yang sedia ada 'tempiasnya' tidak dapat dinikmati oleh generasi baru ini, takut pula mereka ini jadi pengikut pakatan pembangkang seperti apa yang telah berlaku di semenanjung Malaysia.

Apa yang 'semangatlotud' harapkan dari pihak yang berkenaan berilah peluang bukan hanya setakat jawatan Senator kepada para pemimpin kami yang sedia ada, setakat dilantik sebagai Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Pengerusi JKKK, Ketua Kampung.....apalah yang boleh mereka lakukan untuk masa depan anak bangsa LOTUD.